Tuesday, 10 May 2016

ISU-ISU DALAM KAUNSELING KERJAYA

Isu-Isu Yang Timbul Dalam Kaunseling Kerjaya
Ditulis oleh: Asmaul Husna Bin Majuan 
Pengenalan
Kerjaya sepatutnya sesuatu yang dekat di jiwa, disukai. Namun sering kali yang berlaku kepada sesetengah pekerja datang ke tempat kerja seperti terpaksa, sentiasa mengharapkan setiap hari adalah hari Ahad. Pelbagai perkara menyumbang terhadap senario ini. Salah satunya adalah prospek kerjaya itu sendiri. Ini kerana setiap orang sentiasa inginkan kemajuan dalam kehidupan mereka. Ini bersesuaian dengan Teori Maslow mengatakan setiap manusia sentiasa inginkan sesuatu yang lebih baik selepas mencapai kemajuan dalam satu peringkat kehidupan. Perkara seperti ini sudah pastinya menyumbang kepada beberapa lagi isu dalam kaunseling kerjaya terutamanya. Pemilihan kerjaya yang sesuai dengan minat dan kemampuan diri sangat penting untuk menjamin sesuatu pekerjaan berkualiti dan mampu berkekalan.
Kerjaya bermaksud perkembangan dan kemajuan seseorang dari segi pekerjaan. Kerjaya juga merujuk kepada pengajian seseorang dan peranan sepanjang hayat mereka. Visi kerjaya ini menjadikan ianya jelas bahawa seseorang individu itu boleh maju melalui kerjaya mereka secara berterusan. Menurut Sharf (1997), yang menyatakan kerjaya merujuk kepada bagaimana individu tersebur melihat diri mereka dan hubungannya dengan apa yang mereka lakukan.
Apa itu kaunseling kerjaya?
Brown dan Brooks (1991) mendefinisikan kaunseling kerjaya sebagai satu proses bimbingan dan tunjuk ajar kepada klien untuk memilih pekerjaan yang sesuai, menyesuaikan diri dengan kerjaya yang dipilih dan maju dalam kerjaya berkenaan.
Kaunseling kerjaya juga merupakan proses menolong yang memfokuskan kepada kesedaran   kendiri, minat, sikap yang melibatkan individu terlatih dan berlesen (Myrick, 1997, p.3)
Berdasarkan definisi kaunseling kerjaya, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa kaunseling kerjaya adalah untuk individu yang mengalami masalah dalam pemilihan kerjaya, penyesuaian kerjaya, perkembangan kerjaya, minat, serta tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan kerjaya yang telah dipilih.
Isu-Isu Berkaitan Kaunseling Kerjaya
Perkembangan arus globalisasi dan ledakan teknologi maklumat (ICT) membawa impak yang besar dalam kehidupan seharian. Bahkan ia juga membawa perubahan yang pantas dalam sektor sumber manusia (Chinien, 2003). Disamping dalam mengejar negara berpendapatan tinggi dan maju, tidak hairanlah sekiranya timbul isu-isu yang berkaitan kaunseling kerjaya umumnya.
Antara isu-isu yang sering dikaitkan dengan kaunseling kerjaya seperti masalah dalam membuat keputusan untuk memilih kerjaya yang sesuai dengan setting yang diinginkan dan tidak mampu untuk membuat pemilihan yang sesuai dengan kemampuan dan kelayakan diri serta dilema dalam menentukan jawapan yang sesuai. Hal ini berlaku disebabkan pelbagai faktor sehingga seseorang itu menjadi  buntu dalam menyelesaikan masalah dalam bidang kerjaya ini. Masalah dalam membuat keputusan untuk memilih kerjaya disebabkan pelbagai faktor dalaman dan luaran seseorang. Oleh itu, dalam kaunseling kerjaya memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu klien menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dalam isu pemilihan kerjaya yang sesuai dengan klien, mereka sering kali keliru untuk membuat keputusan yang sesuai dengan kemampuan dan kelayakan mereka. Kaunselor sepatutnya peka dengan keadaan ini bagi mengelakkan klien daripada terus dilema dalam membuat keputusan sehingga mereka melepaskan peluang yang patutnya mereka perolehi.
Selain itu, kebanyakan negara maju disamping seiring dengan arus globalisasi lebih mengutamakan pekerja yang mahir dan berpengalaman bekerja sahaja dan sering menggunakan robot-robot untuk melakukan tugasan. Hal ini turut menyumbang kepada kerisauan terhadap anak remaja dalam mendapatkan kerjaya. Goodman & Hoppin (2007) pula menegaskan bahawa dunia pekerjaan kini telah berubah. Ini adalah disebabkan oleh peningkatan globalisasi ekonomi, permintaan pasaran dan juga perubahan teknologi semasa yang menyebabkan penggunaan sumber tenaga manusia sudah tidak diperlukan lagi. Seperti yang sedia maklum, ramai lepasan IPTA yang dikeluarkan sertiap tahun tetapi tidak mengisi kekosongan jawatan terdapat dibeberapa cawangan. Hal ini kerana majikan tidak hanya mementingkan kemahiran teknikal atau hard skill sahaja tetapi juga kepada kemahiran generik atau soft skill agar pekerja mereka dapat menyesuaikan diri dengan semua jenis pekerjaan dan dalam masa yang sama memiliki multi skill.
Antara isu lain yang timbul juga adalah berpunca daripada seseorang itu sendiri, sebagai contoh seorang graduasi telah menceburi bidang yang tidak digemari dan mempelajari sesuatu yang tidak diminati semasa di IPTA. Selain itu, punca kepada pengangguran siswazah adalah graduan yang dihasilkan tidak matang dalam hal-hal kerjaya. Hal ini seperti tidak tahu bagaimana untuk menulis resume yang mantap, lemah dalam membuat persediaan temu duga, tidak dapat membuat keputusan yang tepat, kurang maklumat tentang diri dan kerjaya, tiada kepastian tentang kerjaya yang dipilih, kurang minat untuk merancang serta tidak mampu menyelesaikan masalah.
Dengan itu, unit bimbingan dan kaunseling harus bertindak sebagai pemudah cara pelajar perlu menekankan aspek pemberian maklumat dan kerjaya kepada pelajar agar mereka tidak berada dalam situasi yang keliru. Kajian Perrone, Sedlack & Alexander (2001) menyatakan bahawa para pelajar lebih suka berdiam diri daripada meminta bantuan dan pandangan daripada para kaunselor akademik mahupun kaunselor kerjaya. Perkara ini perlu diambil perhatian yang tinggi bagi mewujudkan satu suasana yang dapat meraikan kepelbagaian keperluan para pelajar.
Pada masa kini, semakin ramai para pelajar yang keliru dengan minat mereka. Bahkan terdapat para pelajar yang tidak tahu peluang kerjaya bagi kursus yang mereka sedang duduki. Masalah pemilihan bidang kerjaya ini banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Faktor seperti minat dan kebolehan seseorang pelajar dapat menentukan hala tuju kerjaya mereka (Zanzali & Rahmat, 2010). Justeru itu, kaunselor kerjaya memainkan peranan yang penting dalam memberi petunjuk dan pengetahuan berkenaan dengan bidang akademik dan pekerjaan kepada pelajar supaya mereka tidak silap dalam membuat pemilihan kerjaya mereka.







Ulasan Isu Dari Perspektif Teori Kaunseling Kerjaya
Menurut Greene (1991), teori merupakan satu konsep logic yang dapat menyediakan pemahaman asas untuk membentuk kerangka kerja dalam meneliti sesuatu feomena dan menyediakan prinsip yang komprehensif lagi ringkas untuk menerangkan serta menjangkakan sesuatu. Bisman (1994) pula menyatakan bahawa teori merupakan satu set penyataan yang dapat menerangkan atau menjangkakan sesuatu fenomena bagi memperjelaskan sesuatu angkubah.
Dalam permasalahan yang sedang dialami, teori mampu untuk menolong dalam mengenalpasti dan memperjelaskan kepada faktor-faktor yang boleh menerangkan sesuatu fenomena. Kepentingan teori dapat diterangkan sebagai satu instrument yang menyediakan pengetahuan asas untuk melakukan penilaian ke atas sesuatu situasi ke arah membentuk dan menjalankan intervensi yang berkesan.
Berdasarkan contoh-contoh isu yang telah dikupas dalam bahagian sebelum ini, terdapat beberapa teori yang boleh digunakan atau dikaitkan untuk dijadikan sebagai jalan penyelesaian atau pemudah cara untuk kaunselor membantu klien mengatasi masalah berkaitan dengan kerjaya. Teori-teori yang hendak digunakan mestilah bersesuaian dengan keadaan dan permasalahan klien dari aspek struktur teori kerjaya.
Teori-teori kerjaya dibahagikan kepada beberapa struktur, iaitu teori kerjaya berfokus kandungan, teori kerjaya berfokus proses, dan teori kerjaya berfokus kandungan dan proses.
Dalam penulisan ini, teori yang dipilih adalah berdasarkan dengan isu-isu yang telah diterangkan dan lebih kepada berfokus kandungan. Kebanyakkan isu menceritakan berkaitan minat, personaliti dan pencapaian. Oleh itu, teori yang bersesuaian dengan ciri-ciri tersebut adalah Teori Tret dan Faktor. Teori ini mengandaika bahawa idividu mempunyai kombinasi tret yang unik yang dapat disesuaikan dengan keperluan sesuatu pekerjaan. Fokus pendekatan teori ini ialah kepada tret yang meliputi personaliti, bakat, minat, nilai, sikap, pencapaian serta hubungannya dengan sifat-sifat yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan.
Teori ini berpegang kepada beberapa prinsip iaitu memahami diri, mengetahui maklumat pekerjaan dan memadankan maklumat diri dengan pkerjaan untuk merasionalkan keputusan memeilih kerjaya yang terbaik untuk diri.
Berdasarkan isu yang telah dibincangkan, teori ini beranggapan bahawa seseorang itu mengalami kekeliruan dalam menentukan kerjaya mereka kerana minat dan jenis pengajian yang diambil tidak menepati personaliti diri mereka. Hal ini terutamanya mempengaruhi diri klien untuk menentukan hala tuju kerjaya mereka. Oleh itu, kaunselor haruslah bijak mengenalpasti berdasarkan teori ini untuk membantu klien dalam menyelesaikan masalah. Kaunselor haruslah berhati-hati dan peka kerana klien mempunyai perbezaan dari segi minat, nilai, pencapaian dan personaliti.
Selain itu, pencapaian dan personaliti menurut teori ini hendaklah seimbang untuk memenuhi keperluan berdasarkan perubahan keadaan semasa. Sebagai contoh isu yang telah dibincangkan seperti majikan bukan sekadar menilai dari segi pencapaian akademik, namun mereka turut mengambil berat berkaitan kemahiran insaniah ataupun soft skill untuk menjadi pekerja yang berupaya bersaing walaupun dalam keadaan ekonomi yang kurang menentu. Oleh itu, teori ini akan cuba untuk membuka minda seseorang untuk memfokuskan kepada kemampuan diri bergantung kepada ciri-ciri yang dikehendaki.
Walaubagaimanapun, pengunaan teori ini juga tidak seratus peratus sesuai dan tepat. Terdapat kelemahan yang timbul dalam menangani isu klien. Kelemahan yang ketara adalah kegagalannya untuk menangani proses membuat pemilihan itu sendiri. Teori ini menjangkakan bahawa kebolehan membuat keputusan adalah berkaitan dengan tret tertentu misalnya tret kecerdasan. Terdapat beberapa faktor seperti fakotr biologi, geografi dan sosiologi perludibuat dan dinyatakan secara jelas agar proses pemilihan kerjaya dapat difahami dengan mendalam.








Cadangan
Setelah membincangkan beberapa isu berkaitan kaunseling kerjaya, terdapat beberapa cadangan turut disertakan bagi membantu dalam menyelesaikan masalah terutamanya dalam konteks kaunseling kerjaya. Peranan utama dalam membincangkan isu-isu yang dihadapi sudah pastinya pihak kaunselor. Mereka memainkan peranan yang sangat penting untuk membuka celik akal klien dalam membuat keputusan menentukan pilihan dan matlamat kerjaya dalam kehidupan mereka.
Antara cadangan yang boleh digunakan untuk membantu klien dalam mengatasi masalah ini adalah dengan mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan mempertingkatkan tahap pendidikan dan insaniah supaya sentiasa seimbang bagi memenuhi keperluan pekerjaan pada zaman sekarang. Klien boleh berjumpa dengan kaunselor untuk membincangkan dan bersama-sama untuk mencari jalan penyelesaian serta mencari maklumat berkaitan dengan kerjaya. Bantuan daripada kaunselor pastinya dapat membantu dalam membuat keputusan daripada duduk diam dan malu untuk berjumpa dengan pihak yang professional ini.
Selain itu, kaunselor juga haruslah mempersiapkan diri mereka tentang isu semasa dan paling penting mampu memiliki lebih maklumat berkaitan dengan kerjaya zaman sekarang. Maklumat ini penting untuk membantu mereka yang bermasalah dalam menetukan hala tuju mereka berdasarkan kelebihan dan kekurangan yang mereka miliki. Maklumat terbaru haruslah diketahui oleh pihak kaunselor bagi memudahkan dalam perkongsian maklumat bersama klien.
Disamping itu, kaunselor juga berperanan menghebahkan tentang perkembangan kerjaya serta sentiasa menawarkan khidmat kaunseling kerjaya kepada sesiapa sahaja. Perkara ini mampu mengelakkan daripada seseoran itu tercicir dari pengetahuan berkaitan dengan kerjaya yang bakal mengubah kehidupan masa depan seseorang terutamanya para pelajar. Mereka seharusnya dididik sejak zaman persekolahan tentang kerjaya dan minat mereka terhadap sesuatu pekerjaan.  Permasalahan ini juga dapat dilihat daripada kenyataan yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 16 Februari 2006, iaitu “Pelajar sewajarnya tahu ke mana arah tujuan pendidikan dan kerjaya mereka sejak awal persekolahan menengah lagi. Malah ada yang telah mendapat keputusan peperiksaan SPM atau setaraf, tetapi masih buntu menentukan hala tujuan masing-masing.
Masalah ini akan mendatangkan bebanan minda kepada para pelajar.” Di sini jelas menunjukkan betapa pentingnya bimbingan dan panduan pelbagai pihak dalam membantu pelajar membuat keputusan tentang masa depan mereka. Di sekolah mahupun institut pengajian tinggi tanggungjawab pihak kaunselor adalah berat dalam memberi informasi yang berguna tentang sesuatu bidang pelajaran dan pekerjaan kepada para pelajar. Ini akan membantu pelajar yang masih keliru untuk memilih bidang kerjaya yang sesuai dengannya semasa dalam pengajian lagi. Pelajar yang tidak mempunyai kepuasan dalam menerima khidmat bantuan kaunseling kerjaya ini berisiko untuk menjadi pelajar yang sambil lewa dan tidak bersemangat dalam pembelajaran mereka. Disini membuktikan bahawa peranan kaunselor adalah sangat penting.
Hasil kajian yang dijalankan oleh Grubb (2001) menyatakan bahawa para kaunselor lebih meluangkan masa mereka membimbing para klien pada masalah-masalah berkaitan dengan kaunseling akademik seperti mengenai kursus-kursus dan kredit yang diperlukan bagi kelayakan subjek pelajaran yang diambil. Walau bagaimanapun, para kaunselor kurang memberikan perhatian pada kaunseling kerjaya. Ini secara tidak langsung, para kaunselor kurang terdedah kepada permasalahan yang berkaitan dengan kerjaya dan ini juga menjadikan para pelajar kurang diberi pendedahan pada dunia kerjaya itu sendiri. Oleh itu, kaunselor hendaklah menyeimbangkan setiap keperluan para pelajar bagi membuka minda dan celik akal para pelajar untuk membuat keputusan.
Tidak dinafikan juga peranan ibu bapa turut mampu menyumbang ataupun mempengaruhi anak-anak dalam pemilihan kerjaya. Sikap dan perbuatan ibu bapa sedikit sebanyak diwarisi oleh anak dan gaya asuhan dan didikan daripada ibu bapa sangat mempengaruhi minat, sikap, personaliti dan perwatakan anak-anak. Oleh itu, semua pihak haruslah bersama-sama membantu anak-anak untuk mencari kebebasan untuk anak-anak meneruskan cita-cita mereka.





Kesimpulan
Setiap individu mempunyai tret yang unik dan keunikan ini dapat membantu individu tersebut dalam menentukan pekerjaan yang sesuai. Individu dapat mengenal pasti tret-tret sendiri melaui kaedah-kaedah pengukuran tret seperti psikometrik. Frank Person menekankan pengatahuan meklumat tentang pekerjaan yang tepat dan jelas dapat membantu individu membuat pilihan kerjaya yang memberi kepuasan dan berkekalan sepanjang kehidupan selagi mana individu itu berupaya bekerja.
Perancangan kerjaya merupakan proses berterusan individu dalam menetapkan matlamat dirinya berkerjaya dan berusaha untuk mencapainya. Juga merupakan pergerakan kerjaya individu sepanjang dirinya berkerjaya. Pembangunan kerjaya pula merupakan pendekatan formal yang digunakan oleh organisasi untuk membantu pekerja mendapatkan kemahiran dan pengalaman bekerja sesuatu pekerjaan semasa dan pekerjaan pada masa hadapan. Perancangan kerjaya sewajarnya telah bermula ketika berada dalam sistem pendidikan lagi.
Kajian ini telah membincangkan kecenderungan pelajar untuk menggunakan perkhidmatan kaunseling dan aktiviti yang disediakan oleh pihak Universiti berkaitan dengan alam kerjaya dengan sebaiknya.Walaupun kerisauan pelajar terhadap masa depan kerjaya mereka, namun masih ramai lagi yang enggan menggunakan perkhidmatan tersebut. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang boleh mempengaruhi penerimaan pelajar terhadap perkhidmatan, aktiviti dan program kerjaya ini. Usaha untuk mempergiatkan pengetahuan pelajar terhadap alam kerjaya ini perlu sentiasa dipertingkatkan agar selari dengan kehendak industri dan pasaran semasa.



No comments:

Post a Comment